top of page

​Berita dan Aktiviti Program Rawatan Sisa Organik Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura

Pameran Rawatan Sisa Organik Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura di Kilang Fuji Elektrik, Kulim

 

​Pihak PPSPPA Negeri Kedah telah dijemput oleh pihak pengurusan Kilang Fuji Elektrik, Kulim Hi-Tech untuk menjalankan pameran sempena dengan sambutan Hari Alam Sekitar bagi komuniti kilang berkenaan pada 16 Januari 2013. Pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Kedah dan juga anggota penguatkuasa daripada Pejabat Cawangan Kulim turut serta dalam menjayakan pameran tersebut. Antara pameran yang dijalankan ialah pameran berkenaan dengan PPSPPA, kempen 3R dan program kitar semula serta pameran pembuatan baja organik dengan menggunakan teknik rawatan sisa makanan kaedah Takakura. Sepanjang pameran dijalankan, booth pameran PPSPPA mendapat kunjungan yang sangat ramai daripada warga kerja kilang tersebut yang tidak putus-putus bertanya mengenai baja kompos dan talian Aduan Sisa.Program menderma darah juga disediakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Cawangan Sungai Petani. Booth pameran yang lain ialah daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan lain-lain. Sebagai cenderahati, pihak PPSPPA telah menghadiahkan sebuah set bakul Compost Chang kepada pihak pengurusan kilang berkenaan untuk melaksanakan penghasilan baja organik daripada sisa makanan yang terjana di kafeteria milik mereka. Progres penghasilan baja organik tersebut akan dipantau oleh pihak PPSPPA Cawangan Kulim dari masa ke semasa bagi memastikan amalan penghasilan baja kompos tersebut sentiasa dilaksanakan.

Ceramah Program Rawatan Sisa Organik Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura di SMK Agama Kedah

 

Satu aktiviti ceramah berkaitan dengan Cara Rawatan Sisa Organik Dengan Menggunakan Kaedah Pengkomposan Teknik Takakura telah diadakan di SMK Agama Kedah pada 6 Februari 2013. Ceramah yang disampaikan oleh Jurutera Negeri Kedah, En Khairul Azmi Mohd Yunus berlangsung di dewan serbaguna sekolah berkenaan. Aktiviti tersebut yang telah dipohon oleh pihak sekolah berkenaan adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada warga sekolah khususnya para pelajar untuk kurang membuang sisa organik merata-rata. Hal ini kerana sisa organik seperti sisa makanan adalah berguna untuk dijadikan baja kompos untuk meningkatkan kesuburan tanah dan juga tanaman lanskap. Oleh yang demikian, pihak  PPSPPA telah dijemput untuk memberikan ceramah tentang cara-cara menghasilkan baja kompos tersebut serta memperkenalkan set Compost Chang untuk kemudahan warga sekolah menyelamatkan sisa organik daripada dibuang ke dalam tong sampah.

​

Set Compost Chang  ini juga dijadikan hadiah istimewa daripada pihak PPSPPA Kedah kepada sekolah berkenaan untuk pelaksanaan amalan penghasilan baja organik tersebut. Diharap semua warga sekolah dapat memberikan kerjasama untuk mengurangkan pembuangan sisa makanan dengan merata-rata dan memasukkan sisa makanan tersebut ke dalam set Compost Chang.

Ceramah Rawatan Sisa Organik Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura di Ladang Kelapa Sawit Pelam, Kulim​

 

​Pada 11 Mac 2013, satu aktiviti ceramah berkenaan dengan Program Pengasingan Sisa Di Sumber dan Rawatan Sisa Organik Dengan Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura iaitu Compost Chang telah dijalankan di komuniti Ladang Kelapa Sawit dan Getah, Ladang Pelam, Kulim Kedah. Ceramah ini diadakan oleh pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Kedah dengan anjuran pihak pengurusan ladang tersebut bagi memberi pendedahan kepada seluruh penduduk ladang berkenaan untuk mengurangkan pembuangan sisa pepejal terutama barangan kitar semula dan sisa makanan di rumah mereka. Ceramah ringkas yang disampaikan oleh Jurutera merangkap Pegawai 3R Kedah, En Mohd Azrul Bin Azmi dan dibantu oleh Cik Intan Diana Binti Abu Bakar memberi kesedaran kepada para pengunjung dewan ladang tersebut betapa pentingnya mengitar semula sisa pepejal seperti kertas, botol-botol plastik, tin-tin aluminium, tin susu, besi dan sebagainya, untuk menjana pendapatan mereka.​

​

Disamping itu, pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Kedah juga telah memberikan ilmu untuk menghasilkan baja kompos daripada sisa makanan dengan menggunakan kaedah pengkomposan Takakura yang ternyata berkesan untuk digunakan di setiap isi rumah. Pihak PPSPPA juga telah menghadiahkan sebuah set Compost Chang untuk diamalkan oleh warga kerja ladang sebelum skala besar dilaksanakan. Set Compost Chang akan dipantau oleh pihak PPSPPA pada setiap bulan untuk memastikan pengamalan rawatan sisa organik ini diteruskan oleh pihak pengurusan ladang.

Taklimat Rawatan Sisa Organik Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura kepada Kelab Alam Sekitar, SMK Agama Kedah​

 

​Pihak PPSPPA Kedah telah menerima permohonan daripada Kelab Alam Sekitar, SMK Agama Kedah untuk mengadakan satu taklimat ringkas berkenaan dengan Cara Rawatan Sisa Organik Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura pada 13 Mac 2013. Selaku penceramah, Pegawai Kitar Semula Negeri Kedah, En Mohd Azrul Bin Azmi bersama staf-staf Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Kedah telah memberikan penerangan mengenai bahan-bahan dan kaedah yang mudah untuk menyediakan set Compost Chang yang menggunakan konsep pengkomposan Takakura ini. Ceramah yang diadakan di bilik makmal sekolah berkenaan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar yang juga merupakan ahli kelab Alam Sekitar sekolah berkenaan. Para guru juga tidak ketinggalan memberi tumpuan terhadap taklimat yang telah disampaikan. Tujuan utama taklimat ini diadakan ialah untuk mengajar para pelajar yang juga ahli kelab Alam Sekitar ini untuk sama-sama menghasilkan baja organik bagi membangunkan dan mengindahkan kebun sekolah seterusnya kawasan persekitaran sekolah.

​

Sehubungan itu, pihak PPSPPA Kedah telah melantik SMK Agama Kedah sebagai peneraju kepada projek kompos berkomuniti yang mana sebanyak 50 set Compost Chang telah diberikan kepada kelab Alam Sekitar ini untuk diuruskan oleh para pelajar dan pemantauan berjadual akan dijalankan oleh pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Kedah pada setiap bulan bagi memastikan pengamalan ilmu kompos ini dilaksanakan secara berterusan oleh mereka.

Aktiviti Kutipan Barangan Kitar Semula, Pameran dan Ceramah Rawatan Sisa Organik Menggunakan Kaedah Pengkoposan Takakura di Kg Sg Tengas, Kulim

 

​Pihak warga kerja Pejabat Cawangan PPSPPA Kulim dengan kerjasama Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Kedah telah menjalankan program 3R di komuniti Kampung Sungai Tengas, Kulim pada 17 Mac 2013. Antara pengisian program ialah pameran berkenaan PPSPPA serta kempen 3R, aktiviti kutipan barangan kitar semula dan taklimat ringkas mengenai Rawatan Sisa Organik Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura. Aktiviti yang dianjurkan oleh pihak PPSPPA ini mendapat sambutan menggalakkan daripada para pengunjung yang kebanyakan penduduk Kampung Sungai Tengas. Tambahan pula, majlis ini turut dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim. Program 3R yang dijalankan turut diselitkan lagi dengan aktiviti ceramah ringkas mengenai Rawatan Sisa Organik Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura daripada Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA. Kaedah Pengkomposan Takakura ini disampaikan kepada penduduk kampung tersebut bagi memastikan sisa organik seperti saki baki makanan di rumah tidak dibuang begitu saja dan lebih baik jika dijadikan sebagai baja organik atau baja kompos.

 

Sehubungan itu, satu set Compost Chang yang telah disediakan oleh pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA diberikan secara percuma kepada wakil persatuan penduduk kampung serta wakil Majlis Perbandaran Kulim untuk dipraktikkan. Pihak warga kerja Pejabat Cawangan PPSPPA Kulim akan memantau perkembangan amalan kompos di kedua-dua komuniti ini pada setiap bulan dan memberi sedikit nasihat berguna untuk menggunakan set Compost Chang.

​​Pameran PPSPPA, Kempen Kitar Semula dan Rawatan Sisa Organik Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura di Stadium Darul Aman, Alor Setar

​

Pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah menganjurkan Karnival Bandaraya Sejahtera pada 26-28 Mac 2013 yang bertempat di perkarangan Stadium Darul Aman dan telah menjemput pihak PPSPPA Kedah untuk turut serta dalam pameran mengenai Kempen Kitar Semula dan Rawatan Sisa Organik Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura. Aktiviti pameran berkenaan dijalankan secara kecil-kecilan memandangkan sebahagian bahan pameran telah dipamerkan di Langkawi sempena program LIMA 2013.

​Pameran PPSPPA, Kempen Kitar Semula dan Rawatan Sisa Organik Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura di Taman Mergong Jaya, Fasa 1

​

​Pada awal bulan Mac 2013, pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Kedah telah dijemput oleh pihak Majlis Bandaraya Alor Setar untuk mengadakan pameran sempena Hari Lanskap Negara di Taman Mergong Jaya, Fasa 1, Alor Setar pada 1 hingga 3 Mac 2013. Aktiviti pameran ini yang dianjurkan oleh Jabatan Lanskap Negara dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga disertai oleh pameran daripada Jabatan Kesihatan Negeri, AADK, MBAS dan Jabatan Lanskap Negara sendiri. Pihak PPSPPA Kedah telah mewakili Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara untuk menguruskan pameran berkenaan dengan Kempen Kitar Semula dan Rawatan Sisa Organik Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura.

 

Majlis yang dirasmikan oleh Menteri KPKT telah disertai oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Pengarah PPSPPA Kedah dan juga CEO Syarikat Environment Idaman Sdn Bhd. Dengan perasmian majlis tersebut, komuniti taman ini akan dijadikan taman angkat dari segi kecantikan lanskap dan kebersihan alam sekitar.

 

​Pameran PPSPPA, Kempen Kitar Semula dan Pameran Rawatan Sisa Organik Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura di Serdang

​

​Pada 22 Februari 2013, pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Kedah serta anggota Pejabat Cawangan PPSPPA Kulim, telah dijemput oleh pihak PBT iaitu Majlis Daerah Bandar Baharu untuk menjalankan pameran sempena majlis Pelepasan Le Tour De Langkawi. Aktiviti yang dijalankan gilang-gemilang itu turut disertai oleh beberapa Jabatan Kerajaan yang lain termasuk pihak agensi swasta dan juga NGO. Pihak PPSPPA telah menjalankan pameran berkenaan dengan pengenalan PPSPPA, kempen kitar semula dan rawatan sisa organik menggunakan kaedah Pengkomposan Takakura.

​Aktiviti Pameran 3R, Pengkomposan Takakura dan Kutipan Barangan Kitar Semula di Astana Park Homes, Sg Petani

​

Syarikat Perumahan Eupe, Sungai Petani telah menganjurkan satu aktiviti bertemakan 3R di Astana Park Homes bagi mempromosikan kempen kitar semula di tapak perumahan baru syarikat berkenaan pada 25 Mei 2013. Pihak PPSPPA Kedah dan syarikat vendor telah dijemput bagi menjayakan majlis berkenaan. Antara pengisian program ialah aktiviti pameran Rawatan Sisa Makanan Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura dan aktiviti kutipan barangan kitar semula daripada pengunjung program berkenaan. Setiap penghantaran 5 kg barangan kitar semula oleh pengunjung akan memperoleh sebatang anak pokok hiasan dan goodies daripada pihak syarikat Eupe dan pihak PPSPPA Kedah. Sebanyak 443 kg barangan kitar semula yang diperoleh sepanjang hari tersebut dan sejumlah RM 130.00 telah disampaikan kepada syarikat Eupe sebagai dana mereka.

​

Antara barangan kitar semula yang telah diperoleh daripada pengunjung ialah seperti kertas, botol plastik, tin aluminium, tin susu, besi, produk kaca dan kain-kain pakaian lama. Terima kasih diucapkan kepada warga kerja PPSPPA Cawangan Sungai Petani atas kerjasama yang telah diberikan untuk menjayakan program ini.

​​Aktiviti Menghasilkan Compost Chang di Ibu Pejabat

​

Baru-baru ini, warga kerja Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Alor Setar telah bekerjasama menghasilkan Compost Chang yang baru untuk aktiviti rawatan sisa organik di Ibu Pejabat Alor Setar. Aktiviti yang yang bertarikh 20 Februari 2013 ini dijalankan oleh Cik Intan Diana Binti Abu Bakar dan Pn Nur Fizatul Akma Binti Kamaldeen.

 

Dengan penghasilan Compost Chang ini akan meningkatkan kesedaran warga kerja mengenai kepentingan mengurangkan sisa makanan daripada dibuang merata-rata. Hal ini juga akan menggalakkan warga kerja menghasilkan baja organik yang bermutu untuk menyuburkan tumbuhan hijau dan memperbaiki struktur tanah dengan sempurna.

Aktiviti Pameran PPSPPA, Kempen amalan 3R, Pengkomposan Takakura dan Kaunter Aduan SISA di Pokok Sena

 

Pihak PPSPPA Kedah dijemput oleh pihak pengurusan Pejabat Daerah dan Tanah Pokok Sena untuk mengadakan pameran berkaitan dengan PPSPPA, Kempen 3R dan Kitar Semula, pameran Rawatan Sisa Organik Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura dan juga membuka kaunter aduan SISA pada 25 Jun 2013. Antara tetamu VIP yang hadir ialah Ketua Pengarah Biro Aduan Awam yang berkunjung ke booth pameran PPSPPA. Acara pameran yang meriah ini berlangsung selama seharian di lokasi berkenaan mendapat perhatian daripada warga kerja pejabat kerajaan tersebut termasuklah penduduk setempat. Pameran ini sedikit sebanyak memberi pendedahan mengenai PPSPPA Kedah dan juga perkhidmatan yang disediakan selain ilmu pengetahun mengenai kempen 3R dan rawatan sisa organik dengan lebih lanjut. Selain itu, aduan sampah daripada penduduk dapat disampaikan dengan lebih dekat di kaunter aduan awam yang disediakan di booth PPSPPA.

Ceramah Rawatan Sisa Organik Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura di SMK Jabi

 

Selepas aktiviti kutipan barangan kitar semula, program 3R seterusnya ialah ceramah ringkas berkenaan dengan Rawatan Sisa Organik Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura kepada 50 orang pelajar SMK Jabi yang kesemuanya merupakan ahli Persatuan Sains dan Alam Sekitar. Antara pengisian ceramah pada 15 Julai 2013 ini ialah pengajaran ilmu menghasilkan baja organik atau baja kompos daripada sisa makanan. Sesi pemantauan amalan pengkomposan ini akan dijalankan oleh pihak PPSPPA Kedah di sekolah berkenaan pada setiap bulan bagi memastikan amalan ini berterusan hingga baja kompos dihasilkan sendiri oleh pihak sekolah.

Taklimat Amalan Rawatan Sisa Organik Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura di SMK Kepala Batas

 

Pihak pengurusan SMK Kepala Batas telah menjemput Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, PPSPPA Kedah untuk menyempaikan ceramah ringkas mengenai amalan rawatan sisa organik menggunakan kaedah Pengkomposan Takakura pada 21 Julai 2013.

 

Selain program 3R berbentuk aktiviti kutipan barangan kitar semula, pihak sekolah berkenaan juga turut mahukan aktiviti lain yang berkonsepkan 3R bagi memperbanyakkan aktiviti berbentuk kebersihan untuk diamalkan oleh warga sekolah tersebut. Salah satu aktiviti berkenaan ialah amalan rawatan sisa organik menggunakan kaedah Pengkomposan Takakura yang merupakan amalan asas dalam pengurangan janaan sisa makanan daripada sampai ke tapak pelupusan sampah. Untuk menjayakan program ini, pihak PPSPPA Kedah telah menyumbangkan hampir 80% ramuan dan bahan-bahan untuk membuat set Compost Chang ini untuk dijalankan dalam skala kecil-kecilan seramai 50 orang murid.

 

Untuk makluman, program kompos ini bakal dijadikan projek kecantikan lanskap dan juga pembajaan kebun sekolah. Tambahan pula, projek pembajaan organik ini akan dimasukkan ke dalam salah satu kriteria pemarkahan bagi pertandingan Lestari Hijau yang akan disertai oleh sekolah berkenaan. Ceramah ini bukan bererti penglibatan PPSPPA Kedah pada hari ini sahaja, tetapi pihak PPSPPA Kedah akan membantu memantau perkembangan amalan rawatan sisa makanan tersebut selain memberikan nasihat dan pandangan untuk menjayakan projek berkenaan.

bottom of page