top of page

​Pencapaian Program Rawatan Sisa Organik Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura

​Aktiviti Pemantauan Amalan Rawatan Sisa Organik di Kilang Fuji Elektrik, Kulim

 

​Pada 26 Februari 2013, pasukan Composting Advisor daripada kalangan warga kerja PPSPPA Cawangan Kulim telah membuat satu aktiviti pemantauan terhadap Compost Chang yang diterima oleh pihak pengurusan kilang daripada pihak PPSPPA pada 16 Januari 2013. Tujuan pemberian Compost Chang tersebut adalah sebagai cenderahati daripada pihak PPSPPA kepada pihak kilang Fuji Elektrik berkenaan atas jemputan mereka terhadap pihak PPSPPA untuk mengadakan pameran tentang cara rawatan sisa organik. Oleh sebab itu, pemantauan berjadual perlu dijalankan di kilang tersebut pada setiap bulan bagi  memastikan pengamalan ilmu kompos oleh pada pekerja kilang berkenaan.

​

Warga kerja PPSPPA Cawangan Kulim yang terdiri daripada En Mohd Syihan Bin Mustafa, En Norazlan Bin Hashim dan En Mohd Amiruddin Bin Tajul Borhan telah mengunjungi pihak pengurusan kilang tersebut bagi memantau perkembangan aktiviti kompos untuk dilaporkan kepada Bahagian Kitar Semula Dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Alor Setar.

 

Amalan kompos di kilang terbabit dikendalikan sendiri oleh pengawal keselamatan kilang berkenaan dan didapati beliau telah memasukkan sisa makanan di dalam Compost Chang tersebut pada setiap hari. Pihak warga kerja PPSPPA juga mendapati, banyak sisa makanan yang belum terurai dan menjadi nutrien. Walaubagaimanapun, kelihatan kelompok-kelompok lapisan keputihan atau mikroorganisma yang mengelilingi sisa makanan yang telah dimasukkan. Pihak PPSPPA telah memberikan sedikit tunjuk ajar tentang cara menjaga dan menguruskan Compost Chang tersebut.

Aktiviti Pemantauan Amalan Pengkomposan Takakura di Kilang Fuji Elektrik

 

Pada 31 Mac 2013, satu aktiviti pemantauan penjagaan set Compost Chang telah dijalankan oleh warga kerja PPSPPA Cawangan Kulim di komuniti Kilang Fuji Elektrik untuk meninjau pengamalan pengurangan sisa makanan dengan menggunakan rawatan sisa organik kaedah Takakura oleh komuniti kilang berkenaan. Hasil tinjauan warga kerja mendapati banyak mikroorganisma yang terdapat di permukaan set kompos berkenaan dan pemerhatian direkodkan. Hal ini berikutan dengan kemunculan lapisan atau tompokkan berwarna putih yang menyamai gabus di atas permukaan seed compost di dalam bakul. Warga kerja PPSPPA Kulim juga melaporkan bahawa hanya segelintir kecil komuniti di dalam kilang tersebut yang menjaga set Compost Chang dengan baik dan beberapa pekerja kilang dan pengawal keselamatan sahaja yang mengamalkan gaya hidup mengurangkan sisa makanan dengan memasukkan sisa-sisa makanan tersebut ke dalam set Compost Chang tersebut. Walaubagaimanapun, komuniti kilang ini telah diberi nasihat dan pandangan oleh PPSPPA bagi menggunakan kaedah pengkomposan ini untuk mengurangkan sisa makanan yang dijana di dalam komuniti berkenaan.

​Pemantauan aktiviti rawatan sisa organik di Kg Sg Tengas, Kulim​

​

Selepas aktiviti ceramah dan pameran pada 17 Mac 2013 berkenaan dengan program Rawatan Sisa Organik Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura, akhirnya Penduduk Kg Sg Tengas telah menggunakan set Compost Chang daripada pemberian pihak PPSPPA Kedah untuk diamalkan pada setiap hari. Sehubungan itu, pada 2 April 2013, pihak PPSPPA Cawangan Kulim telah menjalankan pemantauan berkenaan dengan implementasi set Compost Chang tersebut untuk melihat perkembangan amalan menggunakan semula sisa makanan untuk dijadikan baja. Ternyata, baja organik yang disediakan tidak busuk dan tidak juga berulat. Antara sisa makanan yang dimasukkan ke dalam bakul tersebut ialah seperti kulit pisang dan kulit buah betik. Keadaan seed compost juga agak lembap dan tidak terlalu kering. Penduduk kampung tersebut juga bergilir-gilir menggaul sedd compost berkenaan pada setiap hari.

​Lawatan pihak JICA dan Pemantauan Amalan Pengkomposan di SMK Agama Kedah

​

​​Pada 2 April 2013, pihak PPSPPA Negeri Kedah telah menerima satu lawatan daripada pihak Japan International Corporation Agency (JICA) dari Negara Jepun yang diwakili oleh Mr Ueda Hiroyuki. Objektif utama kunjungan beliau adalah untuk melihat perancangan dan perkembangan program 3R yang dianjurkan oleh pihak PPSPPA Kedah sempena projek penempatan sementara seorang sukarelawan daripada pihak JICA ke negeri Kedah yang akan dijalankan pada tahun depan. Beliau yang merupakan seorang koordinator daripada bahagian Sukarelawan, JICA akan memberikan pandangan dan cadangan untuk menjayakan program penempatan sementara sukarelawan ini.

​

Selepas memperkenalkan diri dan memberi penerangan ringkas mengenai program penempatan sementara sukarelawan JICA pada tahun depan, Mr Ueda pula diberi penerangan mengenai perancangan program 3R oleh Pengarah PPSPPA Kedah. Selepas sesi perbincangan di Ibu Pejabat PPSPPA Kedah berakhir, Mr Ueda yang diiringi oleh En Mohd Azrul Bin Azmi, selaku Pegawai 3R, Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, PPSPPA Kedah memulakan lawatan ke beberapa buah komuniti yang telah menyertai program 3R bersama-sama PPSPPA Kedah.

 

Lawatan ini bermula di Tabika Bestari Al-Umairah di Taman Mahkota, Alor Setar yang menjalankan aktiviti kutipan barangan kitar semula pada hari yang sama dan lawatan tersebut diteruskan ke komuniti Flat Taman Setia Jaya, Jalan Langgar untuk melihat tapak program 3R dijalankan sahaja memandangkan program 3R di situ adalah hanya dijalankan pada setiap hari Khamis pada setiap minggu. Oleh yang demikian, pihak PPSPPA Kedah membawa Mr Ueda ke SMK Agama Kedah untuk melihat perkembangan aktiviti Rawatan Sisa Makanan menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura. Warga SMK Agama Kedah telah menyambut kedatangan Mr Ueda dengan penuh meriah yang mana satu sesi pembentangan tentang program lestari sekolah telah diberikan oleh pihak guru dan para pelajar.

​

Sesi pembentangan ini diakhiri dengan sesi pemantauan Compost Chang yang telah disediakan oleh pelajar sekolah berkenaan sendiri. 4 set Compost Chang ini mula disediakan oleh para pelajar SMK Agama Kedah pada tahun ini setelah dipelajari daripada ceramah dan demonstrasi pembuatan teknik rawatan sisa makanan oleh pihak PPSPPA. Mr Ueda teruja dengan hasil pembuatan pelajar-pelajar ini yang dipimpin oleh guru Kelab Alam Sekitar, Cikgu Zakirah. Antara perancangan para pelajar sekolah berkenaan ialah menghasilkan lebih 50 buah set Compost Chang lagi untuk 50 orang pelajar bagi menyemai semangat cintakan alam sekitar di kalangan mereka. Teknik Rawatan Sisa Makanan berskala besar ini adalah satu impian Pengetua sekolah berkenaan.

​

Kami daripada pihak PPSPPA Kedah berharap dengan kunjungan serta cadangan Mr Ueda ini akan menyebabkan program penempatan sementara sukarelawan JICA di negeri Kedah pada tahun hadapan tercapai. Moga-moga program ini akan menambahbaik dan memantapkan lagi program 3R sedia ada yang diperjuangkan oleh pihak PPSPPA.

Pemantauan amalan rawatan sisa organik di SMK Agama Kedah​

​

Amalan rawatan sisa organik menggunakan kaedah Pengkomposan Takakura di kalangan warga sekolah SMK Agama Kedah telah dipantau oleh warga kerja Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Kedah pada setiap bulan untuk melihat keberkesanan penghasilan baja organik disamping amalan pengurangan amalan pembuangan sisa makanan di kalangan warga sekolah khususnya para pelajar dan guru-guru sekolah berkenaan. Selepas ceramah perdana mengenai pengurangan sisa makanan yang telah disampaikan oleh Jurutera PPSPPA Kedah, En Khairul Azmi Mohd Yunus pada 6 Februari dan taklimat ringkas mengenai kaedah penghasilan baja kompos daripada sisa makanan oleh Pegawai Kitar Semula PPSPPA Kedah, En Mohd Azrul Azmi pada 13 Mac, warga sekolah berkenaan terutama ahli kelab Alam Sekitar telah menyediakan hampir 50 set Compost Chang sebagai menyokong kempen yang diperjuangkan oleh pihak PPSPPA dan sekolah. Pada 15 April 2013, satu aktiviti pemantauan oleh warga kerja Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Kedah telah dijalankan di makmal sekolah tersebut untuk melihat perkembangan amalan pengkomposan ini.

​

Pemerhatian mendapati terdapat fungus berwarna keputihan terbentuk di atas permukaan seed compost di dalam 5 hingga 6 set Compost Chang yang telah dihasilkan sendiri oleh para pelajar dan sebahagian besar set Compost Chang masih dalam peringkat penyediaan awal. Penyediaan awal yang dimaksudkan ialah peringkat yang mana cecair penapaian garam dan gula merah sedang diperamkan dalam bilik yang kurang cahaya matahari dan bersuhu bilik selama 3 - 5 hari sedang dijalankan. Kewujudan fungus berwarna putih ini memberi satu kesimpulan awal bahawa pembiakan mikroorganisma telahpun bersedia untuk menghasilkan sedd compost yang berfungsi sebagai pengurai sisa makanan. Sisa makanan yang dijana di sekolah tersebut kebanyakannya daripada kantin sekolah dan asrama pelajar. Aktiviti pemantauan seterusnya akan dijalankan pada bulan hadapan.

​Aktiviti Pemantauan Amalan Rawatan Sisa Organik Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura Di SMK Jabi

​

Selain menjalankan aktiviti kutipan barangan kitar semula pada 1 Mei 2013 di SMK Jabi, pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Kedah juga menjalankan aktiviti pemantauan pada amalan rawatan sisa organik menggunakan kaedah Pengkomposan Takakura di sekolah berkenaan.

​

Walaupun sekolah berkenaan masih baru dalam ilmu pengkomposan, namun ianya tidak mematahkan semangat warga sekolah ini untuk mengusahakan amalan rawatan sisa organik tersebut pada setiap hari sambil mengurangkan kadar pembuangan sisa makanan. Dengan menggunakan set Compost Chang yang diberikan sebagai cenderahati oleh pihak PPSPPA Kedah, pihak warga sekolah tersebut yang terdiri daripada para pelajar dapat mengurangkan janaan sisa makanan dengan memasukkan sekurang-kurangnya 2 genggam sisa makanan pada setiap 2 hari ke dalam set Compost Chang tersebut.

​Aktiviti Pemantauan Amalan Rawatan Sisa Organik Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura di SMK Simpang Kuala

​

Pada 12 Mei 2013, satu aktiviti pemantauan berkaitan dengan amalan Rawatan Sisa Organik Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura telah dijalankan oleh pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Kedah di SMK Simpang Kuala. Aktiviti pemantauan ini adalah merupakan aktiviti susulan selepas ceramah berkaitan dengan program 3R dan kempen Kitar Semula sisa pepejal telah dijalankan pada 3 April lalu. Daripada ceramah tersebut, sebuah Compost Chang telah diberikan kepada pihak sekolah sebagai cenderahati. Aktiviti pemantauan ini akan diadakan pada setiap bulan bagi memastikan pengamalan konsep "Reuse" atau Guna Semula diterapkan dalam diri setiap individu khususnya warga sekolah berkenaan.

​

Menurut guru penyelaras program di sekolah berkenaan, 2 orang pelajar telah dilantik sebagai "Bapa Angkat" untuk mengendalikan Compost Chang ini. Pelajar terbabit iaitu Ooi Yong Xhen dan Chalie A/L Sathi. Mereka berdua menyatakan bahawa, setiap 2 hari sisa makanan akan dimasukkan ke dalam bakul Compost Chang tersebut. Antara sisa-sisa makanan yang dimasukkan oleh mereka ialah nasi, roti, biskut, tulang ikan, tulang ayam, dan kulit-kulit buah-buahan yang mudah didapati di kantin sekolah.

​

Sebagai Composting Advisor untuk PPSPPA Kedah, En Mohd Azrul Bin Azmi yang mewakili Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Kedah telah memberikan sedikit panduan kepada para pelajar berkenaan untuk mengendalikan set Compost Chang ini dengan lebih mudah. Antaranya ialah dengan mempraktikkan amalan gaul seed compost pada setiap hari dan memasukkan sedikit air ke dalam Compost Chang sekiranya didapati ianya sangat kering.

Aktiviti Pemantauan Amalan Pengkomposan Takakura Di Kilang Fuji Elektrik

​

Satu aktiviti pemantauan berkaitan dengan amalan rawatan sisa makanan menggunakan kaedah pengkomposan Takakura telah dijalankan di Kilang Fuji Elektrik, Kulim Hi Tech pada 30 Mei 2013. Aktiviti yang telah dijalankan oleh sebahagian warga kerja PPSPPA Cawangan Kulim ini adalah merupakan aktiviti berjadual iaitu pada setiap bulan. Hal ini bagi memastikan amalan pengkomposan dijalankan secara berterusan oleh warga kilang terbabit.

​

Berdasarkan pemerhatian oleh warga kerja PPSPPA Cawangan Kulim, didapati fungi penapaian atau seed compost  telah berfungsi sepenuhnya sebagai pengurai sisa makanan yang terkandung di dalamnya. Walaubagaimanapun, fungi penapaian tersebut amat kering dan memerlukan gaulan yang kerap serta campuran segelas air paip pada setiap hari bagi memastikan kelembapannya dikekalkan. Hal ini kerana, mikroorganisma di dalam seed compost ini memerlukan sisa makanan, oksigen dan unsur air untuk terus hidup dalam menjalankan fungsinya.

Aktiviti Pemantauan Amalan Pengkomposan Takakura di SMK Agama Kedah

 

Pada 13 Jun 2013, satu aktiviti pemantauan berkaitan dengan amalan rawatan sisa organik (sisa makanan) menggunakan kaedah Pengkomposan Takakura telah dijalankan oleh pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Kedah di SMK Agama Kedah. Aktiviti pemantauan ini dijalankan bertujuan memastikan amalan mengguna semula sisa makanan untuk dijadikan baja organik dipraktikkan oleh masyarakat supaya janaan sisa makanan dapat dikurangkan. Hasil pemerhatian mendapati, terdapat tompokan berwarna putih muncul di permukaan atas seed compost. Ini merupakan mikroorganisma yang berperanan menguraikan sisa makanan yang dimasukkan ke dalam Compost Chang pada setiap 2 hari. Insyaallah, pemantaun seterusnya akan dijalankan pada bulan hadapan.

Aktiviti Pemantauan Amalan Pengkomposan Takakura di SMK Jabi

 

SMK Jabi merupakan sebuah sekolah baru yang telah mengadakan program 3R iaitu aktiviti kutipan barangan kitar semula dan juga aktiviti rawatan sisa organik (sisa makanan) menggunakan kaedah pengkomposan Takakura sepanjang tahun 2013. Hasilnya, pada 27 Jun 2013, satu aktiviti pemantauan amalan tersebut telah dipantau oleh pihak PPSPPA Kedah untuk melihat perkembangan amalan berkenaan di kalangan warga sekolah. Selepas pemerhatian dijalankan, didapati seed compost yang dijaga oleh para pelajar agak kering. Oleh sebab itu, pihak PPSPPA Kedah telah menasihati mereka supaya memasukkan sedikit air paip jika seed compost didapati kering. Jika ianya kering, mikroorganisma di dalamnya tidak dapat hidup dengan sempurna. Walaubagaimanapun, sisa makanan yang dijana daripada kantin sekolah dimasukkan pada setiap hari ke dalam set Compost Chang berkenaan. Pemantauan berikutnya akan bersambung pada bulan hadapan.

Aktiviti Pemantauan Amalan Pengkomposan Takakura di SMK Simpang Kuala

 

Setelah selesai aktiviti kutipan, barulah pihak PPSPPA Kedah membuat sesi pemantauan amalan rawatan sisa makanan menggunakan kaedah Pengkomposan Takakura oleh para pelajar SMK Simpang Kuala.

 

Hasil pemantauan amalan rawatan sisa organik tersebut mendapati seed compost masih sedang dibangunkan dengan memasukkan sisa makanan ke dalam set compost chang tersebut pada setiap hari oleh para pelajar yang merupakan ibu dan bapa kepada set compost chang. Pemerhatian telah dijalankan dan nasihat telah diberikan kepada pelajar terbabit supaya memasukkan air paip setengah gelas setiap kali melihat atau menggaul seed compost jika didapati kering. Sisa makanan yang dimasukkan pula perlulah kering dan tidak terlalu basah untuk mengelakkan bau masam dan ulat daripada membiak.

Aktiviti Pemantauan Amalan Pengkomposan Takakura di SMK Muadzam Shah

 

Selepas selesai aktiviti kutipan barangan kitar semula pada 17 Julai 2013, pihak PPSPPA Kedah telah menjalankan aktiviti pemantauan Amalan Rawatan Sisa Organik Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura yang dijalankan oleh pelajar SMK Muadzam Shah, Kota Sarang Semut. Amalan rawatan sisa organik dengan menggunakan Compost Chang ini telah dijalankan oleh mereka sejak bulan Mei 2013. Setelah diperhatikan, didapati kandungan Seed Compost kering dan selain daripada itu, pengendalian set Compost Chang tersebut amat baik. Jadual pemberian sisa makanan oleh para pelajar adalah sekali pada setiap 2 hari dan mereka menggaul seed compost tersebut pada setiap hari.

Aktiviti Pemantauan Amalan Pengkomposan Takakura di SMK Kepala Batas

 

Selepas menyampaikan ceramah berkaitan amalan rawatan sisa makanan  menggunakan kaedah Pengkomposan Takakura di SMK Kepala Batas pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, PPSPPA Kedah telah menjalankan satu aktiviti pemantauan terhadap program pengkomposan yang telah dijalankan oleh sekolah tersebut pada 24 Julai 2013. Ini merupakan satu pemantauan mengejut untuk meninjau perkembangan aktiviti tersebut selepas tempoh 3 hingga 5 hari amalan tersebut dilaksanakan. Apa yang menariknya, selepas penyediaan cecair penapaian untuk 3 set Compost Chang pada 21 Julai 2013, sebanyak hampir 10 bakul set Compost Chang telah disediakan. Tambahan pula, penglibatan para pelajar dan guru-guru sekolah berkenaan menghasilkan sebanyak lebih kurang 6 pasang balang lagi cecair penapaian garam dan gula merah yang baru diperam, untuk menyediakan 6 set Compost Chang. Pemeraman kesemua cecair penapaian dan set-set Compost Chang ini dijalankan di dalam setor sekolah yang bersuhu bilik dan kurang pencahayaan matahari. Setiap set Compost Chang ditutup rapi bagi mengelakkan kemasukkan LILATI (Lipas, Lalat dan Tikus). 

 

Penglibatan Tuan Pengetua sekolah berkenaan juga membuatkan semua pihak terharu dengan sokongan warga sekolah berkenaan terhadap program kompos yang telah diperkenalkan oleh pihak PPSPPA Kedah. Kandungan seed compost  di dalam salah satu set Compost Chang didapati agak lembap menunjukkan bahawa ianya baru dicampurkan dan akan diperamkan seminggu sebelum proses memasukkan sisa makanan dimulakan. Apa yang menariknya, 6 pasang balang lagi cecair penapaian garam dan gula merah yang baru diperam telah disediakan dengan menggunakan kulit buah nenas dan dijadikan eksperimen terbaru untuk melihat keberkesanannya berbanding menggunakan kulit buah limau dan epal. Kulit buah nenas tersebut dicincang halus sebelum dicampurkan dengan cecair penapaian garam. Insyaallah, pemantauan pada bulan hadapan oleh pihak PPSPPA Kedah akan mendapatkan satu pemerhatian baru dan nasihat lebih lanjut akan diberikan bagi memastikan kejayaan pihak sekolah untuk menyediakan baja organik mereka.

Aktiviti Pemantauan Amalan Pengkomposan Takakura di SMK Seri Ampang

 

Program amalan rawatan sisa organik menggunakan kaedah Pengkomposan Takakura telah diperkenalkan kepada pihak SMK Seri Ampang semenjak 20 April 2013 semasa Bengkel TOT Kelab Kitar Semula / Alam Sekitar yang dihadiri oleh guru sekolah berkenaan. Sebagai tanda penghargaan, guru tersebut telah diberikan satu set Compost Chang oleh pihak PPSPPA Kedah untuk digunakan bersama-sama warga sekolah berkenaan bagi menyokong kempen mengurangkan janaan sisa makanan di dalam sekolah itu. Oleh yang demikian, selama 2 bulan aktiviti dijalankan, pada 25 Julai 2013, satu aktiviti pemantauan amalan rawatan sisa makanan telah dijalankan oleh pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, PPSPPA Kedah di sekolah tersebut bagi melihat perkembangan amalan berkaitan.

 

Didapati, amalan rawatan sisa makanan tersebut telah dijalankan oleh guru sekolah berkenaan dibantu oleh sebahagian para pelajar. Pihak PPSPPA Kedah mendapati kandungan seed compost agak kering. Walaupun begitu, sisa makanan tetap dimasukkan oleh guru tersebut pada setiap 2 hari dan ianya digaulkan pada setiap hari bagi memastikan sisa makanan di dalam seed compost menjadi sebati. 

 

Jadi, pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, PPSPPA Kedah telah menasihatkan supaya air dimasukkan ke dalam Compost Chang tersebut sekiranya ianya kering kerana mikroorganisma yang terkandung di dalam seed compost ini memerlukan air, udara dan sisa makanan untuk hidup dan menghasilkan nutrien dan seterusnya baja organik yang berkualiti.

Aktiviti Pemantauan Amalan Rawatan Sisa Organik Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura di SMK Agama Kedah dan SM Teknik Alor Setar

 

Pada 29 Julai 2013, pihak PPSPPA Kedah diwakili oleh Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam,  telah menjalankan 1 aktiviti pemantauan amalan rawatan sisa organik iaitu sisa makanan  menggunakan kaedah pengkomposan Takakura di 3 buah sekolah di sekitar Alor Setar iaitu SMK Agama Kedah, SM Teknik Alor Setar dan SMK Keat Hwa 1. Namun, pihak pengurusan amalan rawatan sisa makanan tersebut di SMK Keat Hwa 1 tiada di sekolah dan menangguhkan aktiviti pemantauan ke tarikh yang akan ditentukan kelak. Walaubagaimanapun, SMK Agama Kedah dan SM Teknik Alor Setar mempunyai masa terluang pada hari tersebut untuk menerima kunjungan lawatan daripada kami.

 

Pemantauan amalan rawatan sisa makanan menggunakan kaedah Pengkomposan Takakura di SMK Agama Kedah

 

Sepanjang pemerhatian pihak PPSPPA Kedah, didapati sebanyak 20 buah bakul set Compost Chang telah dihasilkan oleh warga sekolah berkenaan. Aktiviti kompos yang dijalankan oleh kebanyakkannya pelajar berasrama dan juga beberapa orang guru adalah secara berjadual pada hari rabu setiap minggu. Aktiviti yang dimaksudkan ialah aktiviti menghasilkan cecair penapaian, menyediakan bakul beserta alas karpet di dalamnya, campuran cecair penapaian dan juga tanah serta sekam padi dan juga aktiviti diskusi berkumpulan. Kebanyakkan set Compost Chang ini merupakan kepunyaan individu iaitu para pelajar dan guru-guru. Oleh itu, mereka akan membawa setiap set Compost Chang ini ke mana sahaja termasuk ke kediaman mereka di luar mahupun di asrama. Sisa makanan sentiasa dimasukkan ke dalam set Compost Chang pada setiap 2 hari sebanyak 2 genggam serta aktiviti menggaulkan seed compost pada setiap hari bagi memastikan campuran seed compost dan sisa makanan adalah sebati. Kebetulan, pemantauan kali ini, pihak guru penyelaras dan juga Guru Penolong Kanan sedang memasukkan sisa makanan ke dalam set Compost Chang milik pelajar dan milik mereka. 

 

Cuma, terdapat 2 buah bakul yang bermasalah iaitu mempunyai pembiakan ulat dan seed compost yang telah hilang. Masalah komitmen di kalangan pelajar juga mempengaruhi penyediaan seed compost dan Compost Chang itu sendiri. Alhamdulillah, masalah tersebut telah diselesaikan dengan bantuan guru penyelaras program dan juga pemantauan serta nasihat daripada pihak PPSPPA Kedah. Selain itu, ada beberapa buah set Compost Chang yang agak kering. Jadi, antara inisiatif pelajar untuk memastikan proses penguraian sisa makanan berjaya ialah dengan memastikan kandungan seed compost lembap dan tidak terlalu basah. Walaubagaimanapun, hasil pemerhatian amat memuaskan kerana hampir kesemua seed compost di dalam setiap set Compost Chang menguraikan sisa makanan yang terkandung di dalamnya. Selain itu, terdapat 5 set lagi cecair penapaian garam dan gula merah yang sedang diperamkan untuk menghasilkan 5 lagi set Compost Chang yang baru yang telah disediakan sendiri oleh para pelajar.

 

Apa yang menarik dalam pemerhatian kali ini ialah ada 1 bakul set Compost Chang yang menghasilkan kulat atau mikroorganisma yang berlebihan dan mengeluarkan haba setiap kali proses pengacauan dijalankan. Ini memberikan keputusan yang baik dan mungkin disebabkan oleh kadar pemberian sisa makanan yang agak kerap dan mungkin kekurangan air pada seed compost. Suhu seed compost mencecah sehingga 45-47 darjah Celcius. Walaubagaimanapun, tindakan penambahbaikan akan diuruskan. Apa-apa pun tahap kesedaran pelajar sekolah berkenaan terhadap pengurangan janaan sisa makanan semakin meningkat.

 

Pemantauan amalan rawatan sisa makanan menggunakan kaedah Pengkomposan Takakura di SM Teknik Alor Setar

 

Selepas aktiviti pemantauan di SMK Agama Kedah, pihak PPSPPA Kedah seterusnya menjalankan aktiviti pemantauan amalan rawatan sisa organik menggunakan kaedah Pengkomposan Takakura di SM Teknik Alor Setar. Setakat ini, pihak pengurusan sekolah telah mengamanatkan 1 set Compost Chang yang telah diberikan oleh pihak PPSPPA Kedah kepada para pelajar subjek Sains Pertanian sekolah berkenaan. Antara sisa makanan yang dimasukkan oleh mereka ialah roti, tulang dan isi ayam, nasi, kulit pisang, kulit udang, tulang ikan dan kulit bawang. Alhamdulillah, ianya tidak pernah berulat atau menjadi tempat pembiakan cacing dan LILATI. Cuma, seperti SMK Agama Kedah, kandungan seed compost sangat kering dan perlu dimasukkan sedikit air bagi memastikan proses penguraian sisa makanan oleh mikroorganisma di dalamnya bergiat aktif. Berdasarkan pemerhatian, sebanyak lebih kurang 30% sisa makanan yang belum terurai mungkin disebabkan proses penguraian tidak terlalu aktif. Oleh yang demikian, pihak PPSPPA Kedah telah menasihatkan para pelajar yang mengendalikan set Compost Chang tersebut untuk memastikan kelembapan seed compost sentiasa optimum untuk mengaktifkan kembali proses penguraian sisa makanan.

Aktiviti Pemantauan Amalan Rawatan Sisa Makanan Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura Di SK Seri Gedong

 

Pada 28 Julai 2013, satu aktiviti pemantauan amalan rawatan sisa makanan menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura telah dijalankan di SK Seri Gedong, Sungai Petani oleh pihak PPSPPA Kedah Cawangan Sungai Petani yang diwakili oleh En Muhamad Fadzley Bin Yaakop. 

 

Pihak PPSPPA Cawangan Sungai Petani mendapati bahawa kuantiti Seed Compost dalam set Compost Chang  semakin kurang kerana warga sekolah tersebut telahpun menggunakan Seed Compost sebagai baja organik terlebih awal. Oleh yang demikian, warga sekolah telah dinasihatkan agar lebih bersabar supaya menyediakan Seed Compost sehingga penuh bakul set Compost Chang dahulu, barulah boleh ke peringkat seterusnya iaitu menyediakan baja organik. Walaubagaimanapun, keadaan Seed Compost agak lembap dan sesuai untuk dimasukkan sisa makanan pada setiap hari untuk mengalami proses penguraian. Apa-apa pun, terima kasih diucapkan kepada warga sekolah dan PPSPPA Cawangan Sungai Petani kerana aktiviti pemantauan yang telah dijalankan. Insyaallah, aktiviti ini seterusnya adalah pada bulan hadapan untuk melihat perkembangan rawatan sisa makanan di sekolah berkenaan.

bottom of page