top of page

Pengkomposan Takakura

Ilmu membuat baja kompos ini dinamakan sebagai kaedah Pengkomposan Takakura yang direkacipta oleh Professor Koji Takakura daripada Negara Jepun. Dengan bantuan Bahagian Teknologi Penyelidikan, PPSPPA, ilmu ini telah disebarkan ke seluruh Malaysia terutamanya negeri Kedah. Kaedah membuat baja kompos ini adalah satu cara yang paling mudah bagi memastikan kurangnya janaan sisa makanan ke alam sekitar. Kempen guna semula sisa makanan dengan cara membuat baja juga merupakan salah satu matlamat PPSPPA dalam memastikan kebersihan alam sekitar terjamin.

Bahan-bahan Membuat Baja Kompos

- 2 Balang Kaca bertutup bersaiz 1 liter dan berisi air paip 3/4 penuh setiap satunya
- Garam 3 sudu
- Gula Merah 3 sudu
- Sayur-sayuran ringkas seikat (sawi, kangkung, kailan atau lain-lain sayuran ringkas)
- Kulit 3 buah-buahan ringkas (limau, epal merah, epal hijau atau lain-lain buah-buah ringkas)
- Tempe ataupun Tapai selapis
- Tauchu ataupun Yogurt 3 sudu
- Sebuah Kotak bertutup
- Plastik Sampah
- Bakul bertutup
- Karpet Needle Punch 2 Meter
- Scoop
- Tanah Hitam 2 kg
- Sekam Padi atau Dedak 1 kg

Kaedah Membuat Baja Kompos

A) Cecair Penapaian Garam
1) Masukkan 3 sudu garam ke dalam 1 balang kaca.
2) Masukkan kulit 3 buah-buahan ringkas yang telah dipotong dadu ke dalam balang kaca.
3) Masukkan sayur-sayuran ringkas yang telah dipotong halus ke dalam balang kaca tersebut.
4) Gaulkan larutan tersebut dan tutupkan balang kaca.
5) Peramkan balang berisi cecair penapaian garam dalam bilik yang kurang pencahayaan dan
     bersuhu bilik selama 3 hingga 5 hari sehingga lapisan putih terbentuk di permukaan cecair.
B) Cecair Penapaian Gula Merah
1) Masukkan 3 sudu gula merah ke dalam 1 balang kaca.
2) Masukkan 3 sudu tauchu/yogurt ke dalam balang kaca.
3) Masukkan selapis tempe/tapai yang telah dipotong dadu ke dalam balang kaca tersebut.
4) Gaulkan larutan tersebut dan tutupkan balang kaca.
5) Peramkan balang berisi cecair penapaian gula merah dalam bilik yang kurang pencahayaan dan
     bersuhu bilik selama 3 hingga 5 hari sehingga lapisan putih terbentuk di permukaan cecair.
C) Fungi Penapaian
1) Masukkan 2 kg tanah hitam dan 1 kg sekam padi/dedak ke dalam sebuah kotak yang dilapisi
    plastik sampah di bahagian dalamannya.
2) Masukkan cecair penapaian garam dan penapaian gula merah ke dalam kotak tersebut
    perlahan-lahan sehingga campuran boleh dikepal-kepal.
3) Gaulkan campuran Fungi Penapaian tersebut.
4) Tutupkan kotak berkenaan dan peramkan dalam bilik yang kurang pencahayaan dan
     bersuhu bilik selama 7 hari sehingga lapisan putih terbentuk di permukaan Fungi Penapaian.
5) Selepas 7 hari, asingkan fungi panapaian daripada kotak ke dalam bakul yang dilapisi karpet.
6) Compost Chang telahpun bersedia untuk menerima sisa makanan.
D) Compost Chang
1) Masukkan sisa makanan yang kering dan bersih ke dalam bakul Compost Chang sebanyak 2
    genggam pada setiap hari atau setiap 2 hari.
2) Gaulkan kandungan Compost Chang pada setiap hari.
3) Tutupkan bakul Compost Chang setiap kali tidak digunakan.
4) Ulang langkah 1 sehingga ia memenuhi bakul. Sekiranya proses penguraian berjalan dengan baik,
    ia mengambil masa 3 - 6 bulan untuk menjadi penuh jika diletakkan 500 g sisa makanan setiap hari.
5) Sisa makanan akan terurai dan berubah bentuk dalam masa 1- 2 hari.
6) Selepas penuh bakul, asingkan 3/4 daripada isi Compost Chang ke bekas lain dan peramkan
    sehingga 2 minggu sebelum dijadikan baja kompos. 1/4 lagi Compost Chang dijadikan fungi
    penapaian dalam bakul yang sama untuk membentuk baja kompos dengan mengulang langkah 1.

* Terima kasih kepada warga Bahagian Teknologi Penyelidikan, PPSPPA dan warga kerja PPSPPA Kedah atas pengajaran ilmu Pengkomposan

   Takakura kepada saya selama ini. Arigato gonzaimas !!!!

bottom of page